Breaking

September 26, 2012

Pegawai Imigresen Makan Suap 59 Kali


SHAH ALAM – Perbuatan keji empat pegawai Jabatan Imigresen, Bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang yang didakwa atas 59 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM86,850 dua tahun lalu berbalas apabila mereka dihukum penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Md. Shahrizal Che Dan, 26; Mohamad Izuwanshah Samsuri, 27; Nor Shahazlina Sulaiman, 26, dan Mohamad Huzzail Ahmad, 31, yang kesemuanya kini digantung tugas didapati bersalah mengambil rasuah sebagai upah bagi memudahkan kemasukan rakyat Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat.
Sehubungan itu, Hakim Asmadi Hussin memerintahkan Md. Shahrizal dihukum penjara 12 tahun dan denda RM361,400. Sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama 35 tahun dan enam bulan.
Tertuduh dari Sungai Udang, Klang menerima rasuah RM51,760 di empat cawangan Public Bank di Pelabuhan Klang, bandar Klang, Taman Sentosa dan Taman Bukit Tinggi antara 20 April dan 16 Jun 2010.
Mohamad Izuwanshah juga dihukum penjara 12 tahun dan denda RM261,950 selain berhadapan hukuman penjara 25 tahun dan enam bulan jika gagal melunaskan denda tersebut.
Dia menerima rasuah RM31,690 di CIMB Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Stesen Minyak Petronas, Jalan Pandangan, Klang antara 21 April hingga 17 Jun 2010.
Sementara itu, Nor Shahazlina hanya dipenjara tiga tahun dan denda RM14,500 selepas menerima suapan RM2,900 pada 29 Ogos lepas di Maybank Cawangan Pandamaran antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam 29 Ogos 2010.
Mahkamah juga mengarahkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 terhadap Mohamad Huzzail kerana menerima suapan RM500 di Persiaran Seraya, Taman Palm Grove, Klang pada 25 September 2010.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Asmadi bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman sehingga rayuan selesai dengan syarat jumlah ikat jamin dinaikkan kepada RM20,000 setiap seorang selain mereka diarah melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan. Kesemua mereka membayar ikat jamin itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nik Haslinie Hashim manakala peguam Aminuddin Mohd. Ramli dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mewakili kesemua tertuduh.
Kosmo! sebelum ini melaporkan lapan anggota imigresen gred KP17 menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan, menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin.
Empat lagi pegawai imigresen yang dituduh atas kesalahan sama ialah Ahmad Zahed Abd. Alim, 28; Mohd. Hafiz Zakaria, 27; Mohd. Khairul Haqimie Kamarudin, 26; dan Azmir Mahadi, 28. Kes mereka masih dibicarakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Total Pageviews

What color theme you prefer?

Follow Us