Breaking

July 29, 2012

SABAH: Menjejaki Gunung Kinabalu (Part 1)

Dalam slot pertama lokasi pelancongan menarik dan keistimewaan yang hanya terdapat di Sabah Keindahan Pulau Mabul, Semporna, slot kedua diteruskan dengan Menjejaki Gunung Kinabalu. Jum cekidaut apa yang menarik di Sabah.



Tidak pernah terfikir di fikiran saya untuk mendaki Gunung Kinabalu sebelum ini. Pelawaan yang datang, terus saya terima untuk menjejak gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Berketinggian 4097m dari aras laut, saya harus akui yang pendakian pertama kali ini saya lakukan tanpa persiapan stamina yang cukup rapi.

Menjejaki Gunung Kinabalu – Bahagian 1 

Penjelajahan saya kali ini mengambil masa selama 5 hari bermula 2 hingga 6 Julai. Namun, pendakian hanya bermula pada 4 Julai setelah bermalam selama satu malam di Kundasang pada 3 Julai.


Bermalam di Kundasang perlu untuk menyesuaikan perubahan cuaca. Bagi sesetengah pendaki, perubahan altitud adakalanya sukar untuk diterima oleh tubuh mereka.

Dalam Bahagian 1 saya akan menceritakan pengalaman mendaki saya dari Kinabalu Park (1,564m) hingga ke Laban Rata (3,273m) di trek sejauh 6km keseluruhannya.

Di Kinabalu Park, kami perlu mendaftar untuk melakukan pendakian. Saya tiba di Kinabalu Park sekitar pukul 9 pagi selepas sarapan pagi. Setiap pendaki perlu  mendapatkan permit pendakian sebelum mula mendaki. Mereka juga akan diberikan seorang jurupandu dan sekiranya perlu pendaki boleh mengupah beberapa orang porter untuk mengangkat barang berat mereka.

Setelah urusan pendaftaran selesai, saya dibawa menaiki bas menuju pintu rasmi pendakian iaitu Timpohon Gate (1,866m).

Pendakian menuju Gunung Kinabalu pun bermula sekitar pukul 10.10 pagi pada 4 Julai lalu.

Pada peringkat awal pendakian sebenarnya bukanlah mendaki sebaliknya berjalan menuruni trek lebih kurang 500 meter sebelum bertemu air terjun Carson. Ia merupakan trek paling mudah untuk seketika.

Selepas Carson Falls, trek bergerak ke atas untuk meneruskan pendakian. Perjalanan tersebut tidaklah begitu sukar kerana permukaannya telah ditarah menjadi seperti bentuk tangga.

Hutan dikeliling masih kelihatan tebal dan udara juga masih segar dan cukup banyak untuk dihirup.

Setelah hampir 1km berjalan, saya tiba di Pondok Kandis, pondok rehat pertama.

Setiap pondok rehat ada bekalan air gunung yang tidak dirawat. Walaupun masih bersih untuk diminum, namun langkah berjaga-jaga masih diperlukan. Saya bawa water purification tablet untuk menjernihkan air gunung tersebut.

Empat kilometer yang pertama agak sederhana treknya. Sebagai pendaki yang tidak menjalani latihan intensif yang rapi, trek mendaki Gunung Kinabalu tidaklah begitu sukar.
Perjalanan menyusuri trek tersebut merupakan satu pengalaman yang cukup indah. Pada beberapa bahagian pendakian, keindahannya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Pengalaman berhadapan dengan perbezaan cuaca sekaligus saya dapat melihat perbezaan pada bentuk dan corak hidupan asli yang wujud pada ketinggian yang berbeza.

Pada peringkat awal saya dapat merasai ketebalan hutan yang telah ditempuh. Namun apabila pendakian semakin tinggi, corak kehidupan semakin berubah. Bentuk flora dan fauna juga berubah. Itulah keindahan yang terdapat sewaktu mendaki Gunung Kinabalu.

Sepanjang perjalanan menuju ke Pondok Layang-Layang (2,702m) pada jarak hampir 4km tidak begitu sukar. Saya mengambil masa untuk berehat di setiap pondok iaitu Pondok Ubah di jarak 1.5km, Pondok Lowii (2.5km), Pondok Mempening (3km) sebelum tiba di Pondok Layang-Layang.

Di Pondok Layang-Layang, saya mengambil peluang untuk berhenti makan tengahari sekaligus mengurangkan sedikit bebanan membawa set makan tengahari yang dibekalkan oleh Sutera Harbour Resort.

Memang disengajakan menghabiskan masa yang agak lama di Pondok Layang-Layang kerana mengikut nasihat juruarah kami. Perjalanan yang seterusnya akan lebih menyukarkan kerana perubahan altitud yang akan menyebabkan tubuh kita berasa cepat penat.

Perjalanan sejauh 2km dari Pondok Layang-Layang ke Laban Rata agak menyulitkan. Di trek ini adalah lebih baik pendaki mengambil langkah yang lebih kecil dan perlahan bagi menjimatkan tenaga. Ia agak menyulitkan kerana trek yang tidak rata dan agak berbatu. Ditambah dengan kadar kepenatan yang semakin cepat kesan daripada udara yang semakin menipis.

Pada ketinggian tersebut, kesan daripada altitude sickness akan mula terasa. Saya bernasib baik kerana telah mengambil pil altitude sickness sebelum memulakan pendakian.

Pemandangan dalam perjalanan dari Pondok Layang-Layang ke Laban Rata lebih kontang berbeza dengan yang sebelumnya. Kelihatan pokok-pokok tanpa daun hanya ranting dan tekstur tanah semakin berbatu.

Perjalanan tersebut perlu dilakukan berhati-hati kerana sekiranya hujan akan menyebabkan trek menjadi agak licin.

Trek diteruskan ke Pondok Paka setelah berjalan hampir 5km. Pondok Paka berada pada ketinggian 3,052m. Di sini letaknya helipad pada ketinggian 3,263m.

Apa yang saya tidak inginkan, akhirnya menjadi kenyataan. Hujan mula turun renyai-renyai dan hari menjadi semakin gelap. Pergerakan menjadi semakin menyulitkan, satu kerana hujan dan satu lagi kerana gelap.
Saya hanya berpandukan cahaya lampu dari headlamp yang saya bawa untuk menuju ke Pondok Waras pada ketinggi 3,244m.

Saya berhenti agak lama di Pondok Waras kerana hujan semakin lebat selain menantikan teman-teman lain yang tiba 20 minit kemudian.

Percaya atau tidak, dari Pondok Waras ke Laban Rata hanya tinggal lebih kurang 500m sahaja lagi jarak perjalanannya. Kesan cuaca yang tidak baik serta kegelapan malam yang telah mula menyelubungi, perjalanan itu mengambil masa hampir satu jam untuk tiba di Laban Rata (3,273m).

Pada kilometer terakhir sebelum tiba di Laban Rata, kadar udara yang semakin menipis mencuri banyak masa saya untuk tiba di pusat hentian terakhir.

Kaki sememangnya sudah cukup penat dan permukaan batu yang tidak rata semakin menyulitkan.

Saya tiba di Laban Rata sekitar pukul 8 malam. Ini bermakna perjalanan saya dari Timpohon Gate ke Laban Rata mengambil masa 10 jam. Satu tempoh masa yang sangat perlahan kerana secara purata, masa yang diambil pendaki biasa hanyalah 5-7 jam sahaja.

Adakah saya berpuas hati? Pastinya sangat berpuas hati kerana saya melakukannya tanpa latihan intensif yang cukup rapi. Saya tidak pernah melakukan aktiviti bagi meningkatkan stamina sebelum ke Gunung Kinabalu.

Setibanya di Laban Rata, saya makan malam dan perlu berehat untuk bangun pada pukul 2 pagi untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Total Pageviews

What color theme you prefer?

Follow Us