PETALING JAYA: Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi menerima nasib malang apabila rumah banglonya di sebuah kelab golf di Bangi dekat sini dimasuki perompak bertopeng awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Mawi,31, serta tiga penghuni rumah iaitu isteri, Nora’Asikin Rahmat (Ekin),33, ibu mertua Mawi, Fatimah Saad,56, dan nenek mereka Salmah Sahar,77, telah diikat oleh empat orang perompak yang memecah masuk melalui pintu dapur rumah.
Anak mereka yang baru lahir pada 28 Februari lalu iaitu, Cahaya Malaika dan orang gaji tidak diapa-apakan.
Kembar kepada Ekin iaitu Nora’Ain Rahmat (Eein) berkata, semasa kejadian semua penghuni rumah sedang tidur sementara Mawi baru pulang dari Johor Baru selepas selesai siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Katanya, perompak pada mulanya mengetuk pintu bilik nenek sebelum bertindak mengikat mereka kecuali orang gaji serta anak kecil sebelum mengarahkan mereka menyerahkan wang dan barang kemas.
“Tiga daripada empat perompak itu memakai topeng dan salah seorang daripada mereka bersenjatakan pedang samurai sambil memaksa semua penghuni rumah menyerahkan barang berharga,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Tambah Eein, perompak turut melarikan dompet milik Mawi dan Fatimah, telefon bimbit serta beberapa barang berharga lain yang dianggarkan bernilai RM10,000.
Een berkata, dia bersyukur kerana dalam kejadian itu tiada sesiapa yang cedera.
Sementara itu Mawi tidak dapat dihubungi kerana telefon bimbitnya dan isteri turut dikebas perompak terbabit
No comments:
Post a Comment