Tiba-tiba saja nama pelakon kacak tempatan, Nazim Othman disebut-sebut untuk berdiri sebaris dengan penyanyi popular kelahiran Taiwan tetapi sangat dikenali di Hong Kong, Jay Chou.
Sangat dinanti-nantikan, Nazim Othman bakal muncul dengan sebuah kempen iklan besar-bersaran di seluruh Malaysia dan mungkin juga Asia Tenggara apabila dia telah dipilih oleh jenama jam tangan Ellesse sebagai jurucakap jenama antarabangsa berkenaan.
Malah Nazim Othman merupakan artis pertama dari luar Hong Kong selepas Jay Chou yang telah dipilih untuk bergelar jurucakap Ellesse.
Bukan calang-calang kempen, Ellesse telah menerbangkan pelakon yang pernah popular dengan drama bersiri Awan Dania 2 itu ke bandaraya Bangkok sejak semalam bagi merealisasikan sesi penggambaran iklan bagi jenama jam tangan berkenaan.
Malah, khabarnya pelakon berusia 28 tahun dan berbintang Virgo itu akan menjalani penggambaran di atas dek pendaratan helikopter salah satu hotel mewah di sini, esok dengan menggunakan kepakaran produksi penggambaran dari negara Gajah Putih itu.
Ditemui secara eksklusif oleh portal murai.com.my di Hotel Le Meridien sebentar tadi, Nazim Othman berkata dia amat teruja untuk menjalani penggambaran bagi kempen iklan jam tangan berkenaan, meskipun dia sendiri tidak tahu jalan cerita penggambaran berkenaan.
"Terus terang, saya sendiri tak tahu apa yang patut saya lakukan esok. Kerana menurut pihak penganjur, mereka ingin membuat kejutan buat saya. Jadi kita perlulah tunggu esok saja," katanya dalam nada gembira dan turut menggayakan jam tangan terbaru Ellesse.
No comments:
Post a Comment