Remaja perempuan itu dilaporkan hilang dipercayai selepas ibunya menurunkannya di sebuah perhentian bas di Seksyen 7, Shah Alam pada 30 Januari lalu. Keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada 31 Januari lalu.
Duta Besar Malaysia di Bangkok, Datuk Nazirah Hussain, berkata pada hari kejadian, Polis Thailand menghubungi kedutaan memaklumkan penemuan seorang remaja perempuan yang dipercayai warga Malaysia, seterusnya meminta mengesahkan status warga negara mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.
“Bertindak atas maklumat itu, pegawai kedutaan dihantar ke pusat tahanan imigresen yang menempatkan remaja terbabit bagi proses pengesahan. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa adalah remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Shah Alam.
“Kita menghubungi ibunya memaklumkan kejadian itu sebelum membantu membawa ke Bangkok untuk proses dokumentasi dan urusan penghantaran pulang,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Katanya, pihak kedutaan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Thailand dalam siasatan kes berkenaan yang dipercayai didalangi sindiket pelacuran antarabangsa.
“Kita sudah menyalurkan maklumat berkaitan kepada PDRM dan Polis Thailand untuk siasatan lanjut. Identiti mangsa terpaksa dirahsiakan atas faktor keselamatan, malah remaja terbabit dipercayai mempunyai banyak maklumat bagi membantu siasatan, khusus dalam mengenal pasti identiti penculiknya dan anggota sindiket terbabit,” katanya.
Beliau turut mengesahkan remaja terbabit selamat dihantar pulang ke tanah air dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok malam tadi dengan diiringi ibunya, selain beberapa pegawai polis dan imigresen Thailand.
Sejurus mendarat kira-kira jam 8.50 malam tadi, mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.
Di SHAH ALAM, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata remaja terbabit dilaporkan diculik bersama lima lagi mangsa dari Myanmar sebelum mereka berjaya melarikan diri dari tempat kurungan dan ditemui pihak berkuasa Thailand.
No comments:
Post a Comment