Pertama kali menjalani ibadah puasa bersama sebagai pasangan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Al- Yahya akui mereka melalui pengalaman dan detik manis bersama yang sangat menyeronokkan ramadan ini.
Malah Awal Ashaari berkata dia dapat merasakan banyak perubahan ramadan kali ini bersama Scha Al-Yahya, apatah lagi waktu sahurnya kali ini tidak lagi dikejutkan ibunya, sebaliknya ia dilakukan isteri tersayang dengan cara yang sangat berbeza dan manja.
"Saya akui memang susah untuk bangun sahur. Jika saya bangun sahur pun saya hanya akan minum air atau mengambil apa jua makanan yang ringan.Tetapi waktu dulu ibu saya sangat memberatkan kepada kami untuk bangun waktu sahur kerana dia akan masak dengan banyak untuk kami sekeluarga makan. Jadi macam mana pun dia akan paksa anak-anaknya bangun sahur.
"Namun, cara ibu saya kejut sahur adalah dengan cara memercikkan air ke muka dan cubit-cubit supaya saya tetap akan bangun bersahur. Berbeza dengan Scha yang tidak terlalu memaksa tetapi tetap mahu saya bangun untuk minum paling tidak segelas air.
"Cara Scha kejut sahur tidak terasa kerana dia akan menggeletek saya sehingga saya bangun. Jika tidak dia akan begurau dengan mempercepatkan waktu di jam bagi menakut-nakutkan saya bahawa waktu bersahur hampir tamat. Walau bagaimana pun dia berjaya buat saya tertipu dan akhirnya bangun," katanya kepada murai.com.my pada majlis berbuka Astro Shaw, di Hotel One World, malam kelmarin
Sementara itu, Scha Al-Yahya pula memberitahu dia gembira kerana sudah berpeluang memasak untuk suami tercinta dengan menyediakan juadah kegemaran Awal.
"Walaupun sedih kerana kami tidak dapat berbuka bersama pada 1 Ramadan disebabkan tuntutan kerja masing-masing tetapi saya bersyukur kerana berpeluang dapat memasak juadah berbuka untuk kami bersama.
"Saya masak lauk yang ringkas sahaja iaitu sambal goreng ikan bilis dan juga sotong goreng kunyit, tetapi Awal sangat suka masakan sotong goreng kunyit saya. Kami masak bersama di dapur. Saya masak dan Awal tolong kritik. Dia suka mengkritik dan apa yang saya sediakan itu banyak mengikut citarasanya berbanding saya.
"Namun saya gembira kerana kami banyak habiskan masa bersama dalam menjalani ibadah puasa termasuk dapat melakukan terawih bersama-bersama," jelasnya Scha.
Awal dan Scha yang hingga kini masih menunggu rezeki untuk menimang cahaya mata telah berkahwin pada 4 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment