Breaking

August 15, 2012

PROGRAM TERBAIK RAYA DI TV3 | Rancangan menarik Aidilfitri


PROGRAM TERBAIK RAYA DI TV3 | Rancangan menarik AidilfitriSyawal pasti lebih bermakna menerusi tayangan eksklusif filem-filem hebat seperti ‘Mael Lambong’, ‘Jangan Pandang-Pandang’, ‘RA One’, ‘Hikayat Merong Mahawangsa’, ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2′, ‘Apa Celop Raya’ dan ‘Vanilla Coklat Raya’. Tidak ketinggalan, telemovie istimewa Hari Raya yang menyentuh perasaan seperti ‘From London With Almond’, ‘Nur Ramadan’, ‘Fatihah Untuk Abah’, ‘Pelita Buluh Tok Wan’, ‘Takbir Along Untuk Angah’, ‘Di Bawah Langitmu’ dan banyak lagi.
TV3 juga menyediakan program hiburan, variasi dan dramedi terbaik untuk tontonan bersama insan tersayang seperti ‘Sampaikan Raya’, ‘Melodi Raya’, ‘Ziana, Amy & Erra’, ‘Irama’, ‘Bola Pun Raya’, ‘Mentor 6 Raya’, ‘Sebelum Raya’, ‘Dua Dalam Satu’, ’48 Jam’, ‘Senario Sayang Ayah’ dan ‘Buletin Cinta’. Berikut ialah program-program istimewa di TV3 sempena Aidilfitri :
TERBAIK FILEM DI TV3
Mael Lambong
  • Mael Lambong merupakan seorang penarik kereta yang cukup dikenali di Kuala Lumpur. Namun, semuanya berubah apabila Maria telah menemui Mael Lambong dan menyuruhnya menyelamatkan dirinya yang dikejar penjahat. Pelarian mereka telah membawa mereka ke negeri Terengganu di mana terletaknya kampung asal Mael Lambong yang ditinggalkan sekian lama kerana merajuk. Mael Lambong bertemu kembali dengan kekasih lamanya, Rozie dan tunang Rozie, Tiger. Sementara itu, penjahat yang mengejar Maria berjaya menjejaki mereka. Dua perisik telah datang dari Kuala Lumpur dan menerangkan hal sebenar kepada Mael Lambong. Apakah yang mereka mahukan daripada Maria?
  • Pelakon: Zizan Razak, Juliana Evans, Shenty Feliziana, Taiyuddin Bakar.
Jangan Pandang-Pandang
  • Empat pelajar kolej jurusan Sains Sosial dan Manusia – Ajis, Ben, Yaya dan Diana ditugaskan untuk membuat satu tugasan mengumpul maklumat dan data tentang artifak-artifak di Gua Bewah yang tidak pernah dimasuki manusia moden. Yaya baru mendapat tahu Ajis main kayu tiga dan bertekad mahu putus hubungan. Namun demi menyiapkan tugasan, Yaya setuju untuk berdamai buat seketika. Tugasan berkumpulan memaksa mereka mencari ahli kumpulan ke 5, seorang pelajar jurusan sama tetapi dari luar kampus bernama Marsha. Marsha seorang gadis gothik yang penuh misteri. Tiba di jeti Tasik Kenyir, mereka bermalam di dalam sebuah rumah bot kepunyaan seorang lelaki misteri bernama Abang Bob. Bermulalah pengalaman pelik dan ganjil serta menakutkan sepanjang mereka mencari artifak di gua tersebut.
  • Pelakon: Zizan Razak, Sara Ali, Nas – T, Anith Aqilah, Miera Liyana, Azhar Sulaiman, Jaafar Onn, Erynn Malek, Taiyuddin Bakar
RA. One (Filem Hindi)
  • Filem fiksyen Sains mengisahkan tentang permainan video yang dicipta oleh Shekhar Subramaniam (Shah Rukh Khan) dengan menggunakan teknologi terbaru syarikatnya yang boleh memindahkan subjek dalam dunia digital ke dunia sebenar. Shekhar mengambil idea anaknya, Prateek bahawa watak antagonis lebih berkuasa daripada pratagonis. Watak G.One yang diciptakan dengan ilham rupa Shekhar mempunyai pesaingnya yang hebat, Ra.One, watak antagonis yang hanya boleh dikalahkan di paras yang lebih tinggi. Permainan video tersebut bukan sahaja mendapat sambutan hebat daripada pasaran malah anak Shekhar, Prateek juga menganggap ayahnya sebagai seorang hero. Kebijaksanaan Prateek untuk mengalahkan Ra.One telah menimbulkan kemarahannya untuk menceroboh ke dunia sebenar. Shekhar berusaha untuk melindungi ahli keluarga dan berdepan dengan Ra.One. Malangnya, Shekhar dibunuh. Dengan bantuan rakan kerja Shekhar, Preateek telah memindahkan Ga.One ke dunia ini untuk menumpaskan Ra.One. Berjayakah mereka?
  • Pelakon: Shah Rukh Khan, Kareena Kapoor, Armaan Verma, Tom Wu, Shahana Goswami, Arjun Rampal
Jangan Pandang Belakang Congkak 2
  • Setelah berjaya menewaskan Mustika dan memulihkan Punai dan Asmat, Pak Mor terus berusaha untuk memperhebatkan ilmu yang ada padanya. Apa yang mereka tidak tahu ialah Pak Mor sebenarnya mempunyai hubungan dan berpakat dengan Mustika untuk mengambil semua harta dan saka-saka Pak Sudir setelah kematiannya untuk tujuan kekal muda selama-lamanya. Punai dan Asmat cuba menggagalkan rancangan mereka. Situasi ini memaksa Pak Mor dan Mustika bertekad untuk menghapuskan Punai dan Asmat. Akhirnya, Punai dan Asmat melarikan diri dan cuba mendapatkan bantuan daripada seorang bomoh, Wak Ketari.
  • Pelakon: Mazlan Ahmad, Cat Farish, Lisa Surihani, Azlee Jaafar, Pak Pie, Bob Kuman, Nora Danish, Ruminah Sidek, Ebby Yus, dan Wangi The Fabulous Cat
Hikayat Merong Mahawangsa
  • Pada tahun 120, Empayar Rom ketika itu dibawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah. Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han. Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai perancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung pengairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Geruda. Dapatkah Merong Mahawangsa menyelamatkan Puteri China dan menyatukan baginda dengan Putera Rom bagi sebuah perkahwinan yang menemukan dua tamadun besar dari negara Timur dan Barat?
  • Pelakon: Stephen Rahman Hughes, Dato’ Haji Rahim Razali, Ummi Nazeera, Khir Rahman, Jehan Miskin, Nellie Ng, Datin Paduka Umie Aida, Maya Karin, Acong, Mano Maniam, Sufian Mohamed.
Apa Celop Raya
  • Apa Celop Raya’ merupakan kesinambungan daripada drama bersiri ‘Apa Celop’. Mengisahkan tentang tiga pasangan iaitu Aman dan Julia, Sawi dan Munirah serta Mako dan Sofia yang bakal menyambut Hari Raya Puasa sebagai suami isteri untuk tahun pertama. Malah, isteri mereka juga sedang sarat mengandungkan anak sulung. Di sebalik kegembiraan menanti kelahiran cahaya mata, mereka berdepan dengan masalah kewangan untuk menyambut ketibaan Hari Raya Puasa yang hanya tinggal dua minggu sahaja lagi. Dalam kerumitan memikirkan masalah kewangan, Aman, Sawi dan Mako telah bertemu dengan seorang gadis kilang, Izara beberapa hari sebelum Hari Raya. Izara menjadi mangsa mat rempit. Untuk menyelamatkan Izara, Aman terpaksa berlumba dengan raja rempit baru, Rudy, di Kuala Lumpur. Apakah yang akan berlaku nanti?
  • Pelakon: Kamal Adli, Taiyuddin Bakar, Amanda Misbun, Ika Nabila, Azad Jasmin, Shenty Feliziana, Puteri Sarah, Amran Ismail
Vanila Coklat Raya
  • Zara dan Aamir bergaduh lagi selepas pulang dari bulan madu mereka yang ketiga kerana persoalan yang ditimbulkan Aamir kepada Zara mengenai keengganan Zara untuk mengandung. Zara belum bersedia dan merajuk kerana dia merasakan Aamir tidak faham akan keadaannya. Perubahan sikap Aamir telah menimbulkan kesangsian rakan-rakan Izara bahawa Aamir ada teman wanita lain. Mereka mencadangkan Zara untuk mengubah penampilan diri daripada seorang yang kasar kepada lemah lembut. Kesibukan Aamir yang sedang menjalankan latihan pratikal di sebuah majalah sebagai jurufoto telah mengabaikan Zara dan memberi peluang kepada Kamal untuk menambat semula hati Zara. Pada masa yang sama, Liya muncul secara tiba-tiba dan secara kebetulan dia menjadi model sambilan untuk majalah yang Aamir berkerja.
  • Pelakon: Izara Aishah, Aiman Redza, Nabila Daly dan Iqram Dinzly

TERBAIK HIBURAN DI TV3
Sampaikan Raya 2012 – Menjelang Raya, 11.00 malam – 1.25 pagi
  • Program istimewa berbentuk hiburan berinteraktif menjelang Hari Raya ini memaparkan ucapan dan pesanan musim perayaan diselangi dengan persembahan nyanyian daripada artis-artis popular tanahair seperti Ziana Zain, Ramlah Ram, Sleek, Hazama, Zamani, Sharifah Zarina dan Awi Rafael. Dihoskan oleh Zizan Razak dan Neelofa.
Melodi Raya, Raya Pertama & Kelapan, 12.30 tengahari – 1.30 tengahari
  • Saban tahun, Melodi Raya mengadakan rumah terbuka gilang- gemilang di lokasi terkemuka. Tahun ini, konsep Melodi Raya Episod 1 ‘pecah tradisi’ dengan menghimpunkan beberapa pelakon dan pelawak terkenal untuk melakonkan sketsa-sketsa pendek, berceloteh mengenai cerita-cerita sensasi, kontroversi dan panas yang berlaku dalam persada hiburan tempatan. Selebriti yang beraksi di samping pengacara Melodi Zizan Razak dan Awal Ashaari ialah Afdlin Shauki, Adibah Noor, Saiful Apek, Noorkhiriah, Ifa Radziah, Enot dan Tauke. Untuk episod ke-2 yang akan bersiaran pada Raya Kelapan pula, Melodi Raya menggandingkan Zizan Razak, Awal Ashaari dengan pengacara yang cukup hebat, Raja Azura.
Dialah Juara, Raya Pertama (19 Ogos, Ahad), 6.00 petang
  • Program realiti hiburan menggandingkan Hafiz, Fara Fauzana, Black dan Shila Amzah untuk merebut gelaran juara. Dihoskan oleh Faizal Ismail (FBI), mereka perlu melepasi 4 halangan iaitu melakukan bungy jump sambil memegang dan menggigit belon; go-kart; cabaran ais pantai dimana para peserta akan diuji ketahanan daya tubuh badan terhadap ais serta segmen terakhir ’Ayam Oh Ayam’ yang memerlukan mereka menangkap seberapa banyak ayam dalam masa 5 minit.
Ziana, Amy, Erra, Raya Pertama (19 Ogos, Ahad), 11.00 malam – 12.00 tengah malam
  • Ziana Zain, Amy Search dan Erra Fazira, 3 nama besar yang telah menyinari pentas seni tanahair melebihi dua dekad digandingkan dalam sebuah program hiburan istimewa Hari Raya, “ZIANA, AMY & ERRA”. Selain berhibur dengan persembahan mantap daripada Ziana Zain, Amy Search dan Erra Fazira, program muzikal Raya ini turut menampilkan artis popular seperti Jaclyn Victor, Ezlynn dan Azlan The Typewriter serta segmen ‘gameshow’ yang penuh dengan kejutan.
Bola Pun Raya, Raya Kedua (20 Ogos, Isnin), 11.00 malam – 12.00 tengah malam
  • Bagaimanakah sambutan Hari Raya di kalangan pemain bola sepak negara seperti Khairul Fahmi, Zamir Selamat, Farizal Marias, Hafiz Zanini, Zaiza Zainal Abidin dan Fakhri Zarini? Apakah mereka masih berlatih ataupun bertanding di padang bola sepak? Selepas memikul tanggungjawab sebagai pemain bola sepak secara profesional, apakah mereka masih dapat menyambut Hari Raya seperti orang biasa?
Irama, Raya Ketiga (21 Ogos, Selasa), 6.00 petang – 7.00 malam
  • Menampilkan generasi baru popular yang mempunyai kehebatan vokal dari pelbagai genre lagu, ‘IRAMA’ mempamerkan kehebatan Hazama, Alyah, Tomok, Awi Rafael dan Asmidar mendendangkan pelbagai rentak lagu bekonsep Irama Malaysia dengan cara mereka tersendiri. Dihoskan oleh Nora Danish.
Mentor Raya, Raya Kelapan (26 Ogos, Ahad), 9.00 malam – 10.00 malam
  • Tidak lengkap rasanya sambutan hari lebaran tanpa seloka Mentor Raya. Salah satu sajian menarik di TV3 yang dinanti saban tahun, Mentor Raya meneruskan lagi tradisinya dengan menemukan kembali semua barisan mentor dan protege musim keenam setelah hampir dua bulan program realiti ini melabuhkan tirainya. Saksikan persembahan dan aksi spontan Ella & Caroline, Fauziah Ahmad Daud & Zatul, Faizal Tahir & Anas, Ramlah Ram & Ana Syuhada, Ferhad & Tisha serta Adam & KJ yang pasti mencuit hati!
TERBAIK DRAMA / VARIASI DI TV3
Sebelum Raya, Menjelang Raya (18 Ogos, Sabtu), 6.00 petang – 7.00 petang
  • Mengisahkan tentang masalah sepasang suami isteri, Jeff dan Nana apabila syarikat Jeff telah muflis dan duit simpanan mereka telah ditipu oleh satu skim cepat kaya. Jeff bukan sahaja kehilangan kerja tetapi juga tidak mempunyai wang untuk beraya. Nana seorang yang materialistik telah menghebohkan berita kenaikan pangkat Jeff kepada ibu bapanya dan berjanji akan menukarkan segala benda di rumah mereka kepada yang baru. Kereta dan barang-barang mereka yang dibeli secara ansuran juga ditarik balik. Macam-macam kerja sudah dilakukan oleh Jeff tetapi semuanya tidak kekal sebab Nana malu jika suaminya terserempak dengan kwan-kawannya. Dalam keadaan yang terdesak, Nana mencadangkan untuk merompak rumah kawannya.
  • Pelakon: Jepp Sepah, Almy Nadia, Ilya Buang, Aznah Hamid, Watie Elite dan Joey.
Dua Dalam Satu, Raya Pertama (19 Ogos, Ahad), 11.30 pagi – 12.30 tengahari
  • Ham, bercinta dengan seorang gadis biasa, Mia. Percintaan mereka mendapat tentangan dari ibu bapa Ham, Tan Sri Zahari dan Puan Sri Rohaya yang lebih mementingkan darjat. Mereka ingin mengahwinkan Ham dengan Kat, adik orang kanan Tan Sri iaitu Datuk Jamil. Ham tidak bersetuju tetapi Tan Sri Zahari dan Puan Sri Rohaya tetap dengan keputusan mereka. Tan Sri Zahari mengupah seorang perunding, Ritz untuk menguruskan rumah terbuka di rumahnya sempena Hari Raya. Tarikh yang dicadangkan oleh Tan Sri ialah seminggu selepas hari raya Aidilfitri kerana Tan Sri Zahari dan Puan Sri Rohaya ingin bercuti keluar negara pada hari raya tersebut. Apabila mengetahui cadangan ayahnya, Ham telah merancang untuk melangsung perkahwinannya pada hari yang sama.
  • Pelakon: Anas Ridzuan (Mentor 6), Anzalna Nasir, Akim, Arash Mohd, Amyza Adnan, Shamsul Ghau Ghau, Ika Nabila, Jalil Hamid.
48 Jam, Raya Kedua (20 Ogos, Isnin), 6.00 petang – 7.00 petang
  • Azman yang terlalu sibuk dengan kerja telah didesak oleh orang tuanya, Datuk Jalal dan Datin Sarimah supaya mencari calon isteri dalam sebulan iaitu sebelum Hari Raya. Jika tidak, ibu Azman akan dijodohkan dengan calon pilihan mereka. Seminggu sebelum raya, Azman pergi ke Kedah atas urusan kerja. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Azman telah memilih untuk mengikut jalan kampung. Tiba di Alor Star, Rosa telah menyelinap masuk ke dalam keretanya. Rosa melarikan diri dari kampungnya kerana tidak bersetuju dengan cadangan keluarganya untuk mengahwinkannya kepada seorang duda. Walaupun sering bertengkar dalam perjalanan dan macam-macam masalah yang merumitkan keadaan, Azman dan Rosa yang melarikan diri daripada keluarga atas soal jodoh telah menemui jodoh mereka tanpa disedari.
  • Pelakon: Adi Shaflin, Hanez Suraya, Roy Azman, Ifa Radziah, Harun Salim Bachik. Fadilah Mansor, Abon.
Senario Sayang Ayah, Raya Ketiga (21 Ogos, Selasa), 11.00 malam – 12.00 tengahmalam
  • Wahid sedang bermain dengan anaknya sambil diperhatikan isterinya. Mereka sedang bergembira bersama saudara masa di pagi raya. 50 tahun telah berlalu, kini Wahid berumur 70 tahun. Isternya sudah meninggal dunia dan hanya anak tunggal lelakinya, Zulkifli Azari (Ijoy) yang menemaninya. Namun, Ijoy yang takut dengan isterinya, Shahora terpaksa akur dengan cadangannya untuk menghantar Wahid ke rumah orang tua. Walaupun Wahid mempunyai Azli dan Lan Pet Pet yang sentiasa cuba menceriakannya di sana, Wahid masih sugul dan muram. Dia masih keliru dan tidak dapat menerima kenyataan. Segala kasih sayang, ilmu dunia dan akhirat dicurahkan kepada anaknya. Wahid semakin uzur dan mengharapkan kunjungan daripada anaknya menjelang Hari Raya.
  • Pelakon: Wahid, Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet, Sharifah Shahora, Zulkifli Azari (Ijoy), Ridzuan Hashim, Noor Zaimiellia, Ahmad Hamdan, Zulkifli Daud.
Buletin Cinta, Raya Keenam (24 Ogos, Jumaat), 11.00 malam – 11.30malam
  • Buletin Cinta membicarakan apa sahaja isu yang berkaitan dengan cinta bersama HOST dan DOKTOR LOVE yang dipersembahkan secara komedi. Topik-topik yang dibincangkan termasuk ‘kenapa mereka jatuh cinta’, ‘apa rasanya bila jatuh cinta’ dan ‘jatuh cinta pandang pertama’.
  • Pelakon: Saiful Apek, Jepp Sepah, Sharifah Shahira, Siti Sarah Raisuddin, Yassin Senario, Taiyuddin, Ropi Cecupak, Shuib Sepah dan Zazleen Zulkifli
TERBAIK TELEFILEM DI TV3
From London With Almond, Raya Pertama (19 Ogos, Ahad), 4.00 petang – 6.00 petang
  • Sabariah bertekad untuk tidak berkahwin kerana ingin menjaga ayahnya, Pak Sabar setelah kematian ibunya. Adiknya, Sabrina telah berkahwin dengan orang London dan terus menetap di sana. Selepas kahwin, Sabrina belum pernah pulang untuk beraya. Akhirnya, Sabariah berjaya memujuk Sabrina untuk pulang beraya di kampung bersama suaminya, Amar dan mak mertuanya, Maria. Sabariah risau apabila mengetahui adiknya masih belum mempunyai zuriat walaupun sudah tiga tahun berkahwin. Sabrina pula memujuk Sabariah supaya menerima cinta untuk kebaikan dirinya. Sebenarnya dalam diam, Sabariah menyintai seseorang tetapi dipendamkan sahaja. Amar pula terkejut apabila Sabrina menyatakan inginn berubat cara kampung untuk mendapat zuriat. Amar turutkan sahaja permintaan isterinya kerana dia tahu dirinya sebenarnya mandul. Amar takut untuk berterus terang kerana dia bimbang Sabrina akan meninggalkannnya. Rahsia tersebut terus disimpan kerana masing-masing ingin terus kekal bersama. Sempena kedatangan bulan yang penuh keberkatan itu mereka sama-sama memanjatkan doa moga dimurahkan rezeki dan ada sinar baru yang akan menerangi kehidupan mereka.
  • Pelakon: Lisdawati, Miera Liyana, Josiah Hogan, Dato’ Rahim Razali
Nur Ramadan, Raya Kedua (20 Ogos, Isnin), 9.30 pagi – 11.30 pagi
  • Nur seorang kanak-kanak cilik yang periang, rajin, berdikari dan pandai mengambil hati orang sekelilingnya. Nur telah dibawa tinggal di bandar bersama dengan ibunya, Syakilla (Killa) dan bapa tirinya, Latif setelah kematian neneknya seminggu sebelum puasa. Namun kehadiran Nur tidak disenangi oleh Latif kerana dia tidak mahu kasih sayangnya berbahagi dengan anak tirinya yang dianggap sebagai orang asing. Sikap dingin yang ditunjukkan Latif mengguris hati Killa yang sedang sarat mengandung tetapi dia serba salah antara anak dan suami. Nur sangat rapat dengan jiran sebelah rumahnya, Opah Mami. Opah Mami juga menjadi tempat Nur meluahkan perasaannya. Malah Opah Mami sering mengajar Nur membaca zikir Ya Latif (Yang Maha Lembut) dan berdoa supaya ayah tirinya lembut hati. Apakah Latif akan membuka hati untuk menyayangi Nur?
  • Pelakon: Fauzi Nawawi, Fouziah Gous, Adik Balkis, Normah Damanhuri, Maimon Mutalib
Muat Tak Muat, Raya Kedua (20 Ogos, Isnin), 4.00 petang – 6.00 petang
  • Maisarah cukup terkenal dengan sikap kedekutnya. Bukan sahaja dengan rakan-rakan tetapi dia turut kedekut dengan keluarganya sendiri. Maisarah bekerja di kilang tetapi dalam masa yang sama dia turut melakukan pelbagai perniagaan seperti menjual kain batik, gincu, minyak wangi tiruan, cincin dan gelang. Walaupun pelanggannya boleh bayar dua kali, tetapi harga yang diletakkan sangat tinggi. Hamid menaruh perasaan terhadap Hamid tetapi Maisarah tidak berminat terhadapnya. Namun, mendengar sahaja Hamid mahu belanja, Maisarah tidak menolak. Maisarah langsung tidak membelikan baju raya untuk adik dan ibunya malah menempah 8 pasang baju untuk dirinya. Namun baju yang diidamkan tidak seperti yang diharapkan. Pelanggan yang membeli barangan Maisarah meminta dia memulangkan wang kerana barangan yang dijual tidak berkualiti. Adakah akhirnya Maisarah akan berubah?
  • Pelakon: Izreen Azminda, Fizo Omar, Ika Nabila, Fauziah Nawi, Shafie Naswip
Fatihah Untuk Abah, Raya Ketiga (21 Ogos, Selasa), 9.30 pagi – 11.30 pagi
  • Kekosongan hidup Dollah ditemani dengan gelak tawa dan gurau senda rakan-rakannya, Samad dan Gusdar. Selain itu, Dollah juga sering mendapat perhatian daripada penjaga kantin bernama Ani yang sering menyimpan makanan kegemaran Dollah. Suatu hari Dollah dikejutkan dengan kunjungan seorang gadis, Fatihah, anaknya yang ditinggalkan 17 tahun lalu. Keluarga isterinya yang mewah menentang cinta mereka dan tidak mahu membiarkan anak mereka hidup susah dengan pemandu lori. Akhirnya Dollah melepaskan isterinya dan Fatihah yang ketika itu masih bayi kepada keluarga isterinya bagi memastikan kehidupan dua beranak itu terjamin. Dollah terkejut apabila Fatihah memberitahu ibunya telah meninggal dunia ketika usia Fatihah 5 tahun. Dalam keadaan sayu, Dollah bertanya kepada Fatihah akan tujuan sebenar Fatihah datang berjumpa dengannya. Fatihah memberitahu dia ingin menghabiskan cuti sekolah selama sebulan untuk mengenali ayahnya itu. Dollah berasa segan untuk menyambut kehadiran Fatihah kerana keadaan rumahnya yang usang dan berselerak sedangkan Fatihah sudah biasa hidup mewah bersama Tok Mak. Kehidupan Dollah menjadi ceria dengan kehadiran Fatiha namun saat-saat bahagia tidak berpanjangan kerana Dollah sebenarnya telah menyimpan satu rahsia.
  • Pelakon: Faizal Hussein, Sharifah Amani, Amyza Adnan, Azhan Rani, Shafie Naswip
Takbir Along Untuk Angah, Raya Ketiga (21 Ogos, Selasa), 4.00 petang – 6.00 petang
  • Amir (Along) dan Amri (Angah) tinggal bersama nenek mereka, Normah di Kuala Lumpur selepas kematian ayahnya, Saiful. Ibu mereka, Hayati terpaksa berkorban demi pelajaran mereka. Normah bijak memujuk Along dan Angah bahawa mereka akan pulang ke kampung pada Hari Raya Puasa nanti. Hayati hidup dalam kerinduan terkenangkan anak-anaknya. Dia semakin tertekan apabila hasil getah di kebun telah dicuri. Sementara itu, kehidupan Along dan Angah pada awalnya sangat ceria dan dilayan baik oleh Normah. Namun segalanya berubah semenjak kepulangan anak bongsu Normah iaitu Azura yang baru bercerai dengan suaminya. Azura sememangnya tidak menyukai Along dan Angah kerana dari dulu dia tidak sukakan Hayati yang berkerja di kelab malam. Malah, dia juga khuatir harta pusaka ibunya akan jatuh ke tangan dua beradik itu. Telahannya benar apabila harta pusaka dibahagikan kepada mereka. Azura mengambil tindakan drastik. Bagaimanakah kesudahan kisah dua beradik ini?
  • Pelakon: Eja, Aida Khaleeda, Jue Aziz, Adik Naim Daniel, Adik Farah Nadiah
Di Bawah Langitmu, Raya Keempat (22 Ogos, Rabu) , 4.00 petang – 6.00 petang
  • Annur merupakan gadis yang menjadi igauan hampir setiap anak muda dalam kampung itu. Dia merupakan seorang yang cantik, lembut dan warak. Annur bakal disatukan dengan Farid pada Aidilfitri yang bakal menjelang. Osman, abang angkat Annur di sekolah yang mahu memperisterikan Annur kecewa dengan berita tersebut. Sikapnya yang panas baran dan kaki pukul membuatkan pinangannya ditolak oleh keluarga Annur. Yazid yang berdendam dengan Osman telah memasang perangkap supaya Annur dengan Osman ditangkap khalwat. Keluarga Annur menyatukan Osman dengan Annur demi menjaga maruah keluarga mereka. Osman telah berubah selepas berkahwin dan menatang Annur macam minyak yang penuh. Annur semakin bahagia apabila dia disahkan mengandung. Namun, rumahtangga mereka mula tergugat selepas Osman ditipu oleh rakan kongsinya. Osman kembali kepada tabiat asalnya dan Annur sering dikasari. Mampukah percintaan mereka menemui kebahagian hingga ke akhirnya?
  • Pelakon: Nora Danish, Sharnaaz Ahmad, Nad Zainal, Ako Mustafa, Liza Abdullah, Rosnah Johari, Zaidi Omar
Sabar Tak Sabar, Raya Kelima (23 Ogos, Khamis), 4.00 petang – 6.00 petang
  • Salman berkerja di kedai jahit Sabariah. Namun dia sudah letih dengan tempahan yang begitu banyak dan sikap majikannya yang suka mengambil banyak tempahan walaupun tahu tidak mampu untuk menyiapkannya. Kebetulan pula teman serumahnya , Shahrukh mahu membuka tapak menjual karpet di uptown. Salman berhenti kerja dan mahu berkerja bersama Shahrukh. Salman begitu teruja apatah lagi jiran sebelah tapaknya itu ialah janda muda yang cantik bernama Farhana. Namun, Salman mendapat saingan daripada Asri yang berniaga jeans di hadapan tapak jualan Farhana. Asri memang menyukai Farhana sejak dua tahun yang lalu tetapi tidak dilayan oleh Farhana yang sememangnya sukakan bangsa asing. Saksikan telatah mereka yang penuh ragam menghiburkan..
  • Pelakon: Remy Ishak, Aqasha, Tizz Zaqyah, Indra Hafiz, Norehan Yakob
Perempuan Tanpa Rahim, Raya Ketujuh (25 Ogos, Sabtu), 5.00 petang – 7.00 petang
  • Sejarah hitam pernah dirogol ketika usianya 26 tahun menghantui Kamariah sehinggalah ke usia tuanya. Sewaktu kejadian berlaku Kamariah telah diselamatkan oleh Malim. Malim telah menaruh hati dan berhasrat untuk memperisterikan Kamariah sedangkan Malim sudah pun mempunyai isteri. Mereka membuat pengakuan kepada orang tua masing-masing bahawa mereka keterlanjuran. Isteri Malim, Fatimah telah meminta cerai kepada Malim kerana malu dengan perbuatan suaminya. Kamariah pula ingin gugurkan kandungannya tetapi dihalang Malim sehinggalah bayi tersebut dilahirkan dan diberi nama Syahidah. Kewujudan Syahidah telah menimbulkan rasa benci Kamariah kepada anaknya itu. Disebabkan peristiwa hitam itu juga Kamariah tidak dapat memaafkan dirinya malah dia turut memusnahkan hubungan kasih sayang anak-anaknya sendiri.
  • Pelakon: Eja, Normah Damanhuri, Putri Mardiana, Harun Salim Bachik, Faiz Fadzil, Razali Husain, Azhan Rani, Khatijah Tan.
Lepas Raya Harap Balas, Raya Ketujuh (25 Ogos, Sabtu), 10.00 malam – 12.00 tengahmalam
  • Kak Jemah, seorang janda yang mempunyai seorang anak perempuan, Aspalela (7 tahun) yang suka melaram. Tiga hari sebelum raya, Malik sekeluarga terpaksa pulang ke kampung kerana neneknya meninggal dunia. Anak Malik, Syawal (9 tahun) tertarik dengan Aspalela. Bermulalah episode romantis antara Syawal dan Aspalela yang sering berbalas pantun. Bukan sahaja Syawal yang terkesima, malah hati Malik juga goyah tatkala melihat Kak Jemah. Hubungan Syawal dan Aspalela terputus selepas mereka pulang ke Kuala Lumpur. Selepas 13 tahun, ramai pemuda kampung yang masuk meminang tetapi Aspalela menolak dengan alasan hatinya sudah dimiliki. Tambahan pula, Aspalela gembira dengan berita kepulangan pakcik Malik dan keluarganya yang akan pulang ke kampung. Namun, Syawal baru tamat pengajian di UK dan sudah bertunang dengan Jac. Sikap kebaratan Jac tidak disenangi oleh Malik dan Ku Yam. Oleh itu, mereka cuba untuk menyatukan kembali cinta monyet antara Syawal dan Aspalela. Masihkah ada harapan bagi Aspalela untuk memiliki cinta Syawal setelah sekian lama tidak berhubung?
  • Pelakon: Izzue Islam, Nur Fathia, Tasha Aziz, Rozita Che Wan, Cha Cha.
Pelita Buluh Tok Wan, Raya Kelapan (26 Ogos, Ahad), 5.00 petang – 7.00 petang
  • Keakraban Tok Wan dengan anak-anaknya iaitu Azman dan Azimah kekal hingga mereka berkahwin dan masing-masing mempunyai anak. Azman kini tinggal di Kuala Lumpur dan kehidupannya sangat selesa. Azimah kurang berjaya dalam pelajaran malah dia juga seorang yang lurus bendul. Azimah bertemu jodoh dengan bekas anak murid Tok Wan iaitu Razak dan mereka mempunyai seorang anak lelaki, Syakir. Ketika pulang dari pekan Azimah dan Razak terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia. Sejak itu, Syakir telah dijaga oleh Tok dan Tok Wan ketika usianya tujuh tahun lagi. Hakikatnya, setahun sebelum kematian Azimah lagi hubungan Tok Wan sekeluarga telah berubah. Hal tersebut terjadi ketika Azman terdengar perbualan antara Tok Wan dan Tok mengenai pertukaran nama dan geran rumah ke atas nama Azimah. Azman tidak berpuas hati, kerana dia merasakan haknya sebagai anak sulung telah dinafikan sehingga berlaku perang besar antara, Tok Wan, Tok dan Azimah. Akhirnya, Azman membawa keluarganya pulang ke Kuala Lumpur dan tidak pulang ke kampung lagi.
  • Pelakon: Dato’ Rahim Razali, Marissa Yasmin, Normah Damanhuri, Vanida Imran, Fizz Fairuz
SUMBER: AMMBOI.COM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Total Pageviews

What color theme you prefer?

Follow Us