KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang anggota keluarga terdekat Syaleza Jaffar, 31, eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 yang ditemui mati di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, anggota keluarga tersebut ditahan bagi siasatan lanjut lewat malam tadi di Segamat, Johor, kampung halaman mangsa.
Polis sudah merakamkan percakapan anggota keluarga itu, katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, hasil siasatan awal Unit Forensik dan Patologi Polis Selangor, terdapat kesan jerut di bahagian leher dan beberapa kesan lebam pada tubuh mangsa.
"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” kata Arjunaidi.
Mayat Syaleza dilaporkan ditemui di dalam bilik tidurnya pada pukul 7 malam, setelah pintu bilik dipecahkan kerana dia tidak membuka pintu apabila dipanggil untuk berbuka puasa.
No comments:
Post a Comment