GADIS jelita ini antara selebriti bukan Melayu yang semakin berjaya menempa nama dan popularitinya bukan calang-calang pada ketika ini. Dibariskan sebagai teraju dalam siri Mana Hilangnya Juwita di saluran Astro Ria bersama nama besar lain, Adeline Tsen nampaknya semakin menyerlah dan hampir mencapai impiannya.
Tidak pernah terdetik untuk memijak dunia lakon layar, pemilik nama penuh Adeline Anthony Primus Tsen, 26, ini sebaliknya menyimpan cita-cita besar menjadi penyanyi terkenal sejak zaman kanak-kanak. Namun rezekinya nyata memihak kepada bidang lakonan apabila berjaya dikesan beberapa produser dan kini cukup serasi dalam lapangan ini.
Bagaimanapun, anak jati Kota Belud, Sabah ini bertuah, dia beruntung mempunyai perwatakan yang cukup mesra serta berada di lingkungan rakan-rakan industri menyebabkan tidak sukar buatnya mengembangkan bakat nyanyian. Yang pasti, Adeline tidak lagi bermimpi pada saat ini kerana tidak lama lagi, gelaran penyanyi bakal menghiasi profil kerjaya seninya.
Peluang bertemunya dalam satu sesi fotografi di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, cukup membuka mata mengenai sisi usaha kerasnya yang tidak berpenghujung untuk cuba membina nama dalam industri.
Jelas daripada butiran mengenai perancangan yang sudah diatur untuk kerjaya seninya, Adeline ternyata bukan suka-suka menceburi bidang ini. Dia ada matlamat tersendiri dan tidak akan pernah berputus-asa selagi ruang masih terbuka luas buatnya bernafas dalam lapangan ini. Terbaru, selama empat tahun menanti, gadis ini akan merealisasikan impiannya untuk bergelar penyanyi pula.
“Buat sesiapa yang kenal saya sebelum saya menceburi bidang lakonan, mereka akan tahu betapa seriusnya saya meminati bidang nyanyian. Memang inilah minat saya yang sebenarnya sejak dari kecil lagi namun tidak sangka tawaran berlakon datang lebih dulu. Meskipun, bermula saat itu saya mula sibuk dengan penggambaran namun tidak sesekali terlintas untuk mematikan impian menghasilkan lagu sendiri.
“Bagaimanapun, apa yang menjadi penghalang adalah apabila saya belum lagi berjumpa dengan genre paling sesuai untuk vokal saya. Jadi, saya tidak membuang masa dan bertanya dengan rakan-rakan penyanyi yang rapat mengenai nyanyian saya. Syukurlah, mereka sangat membantu dan mengatakan suara saya sesuai dengan genre R & B dan soul.
“Maka, proses mencari lagu yang paling sesuai pun bermula sejurus selepas itu.
Agak lama juga mencari, akhirnya saya berjumpa dengan lagu yang sangat sesuai dengan jiwa saya. Mengisahkan percintaan jarak jauh, saya beruntung dapat bekerja dengan komposer lagu berkenaan, Rudy Halim yang sangat berbakat serta penulis liriknya, Mable Lew.
“Single yang akan dilancarkan pada November depan itu nanti berjudul Kau Bagiku dan konsep lagu itu saya tentukan sepenuhnya mengikut kesesuaian vokal saya.
Istimewanya, lagu ini juga bakal menjadi lagu tema kepada sebuah drama yang juga berkisar percintaan jarak jauh lakonan saya nanti,” kata Graduan bidang Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu.
Biarpun ramai yang mungkin belum tahu kehebatan nyanyian pelakon siri muzikal Hotel Mania ini, hakikatnya, Adeline sering mendapat undangan untuk membuat persembahan pentas bersama artis terkenal lain. Antaranya, baru-baru ini, Adeline tidak terkecuali mengisi slot persembahan di beberapa pentas di Hari Belia 2012 yang berlangsung di Putrajaya.
Namun melangkah setapak lagi dalam bidang lain bukan bermaksud gadis ini akan sedikit-sedikit mula meninggalkan kerjaya lakonannya. Akuinya, pada saat ini, lakonan masih keutamaan kerana di situlah periuk nasinya yang sebenar.
Apatah lagi kini namanya sudah mula menjadi sebutan sejak terbabit dalam siri Mana Hilangnya Juwita. Baginya, dia tidak pernah menyangka akan disenaraikan bersama pelakon-pelakon handalan termasuklah primadona Melayu, Erra Fazira.
“Ini memang benar-benar peluang keemasan yang sukar untuk saya gambarkan kerana akhirnya dapat bergandingan dengan Erra. Memang sangat gementar untuk bertegur-sapa dengannya apalagi dia sudah lama dalam bidang ini tapi walaupun sudah berada dalam kelas tersendiri, Erra tak pernah pun berlagak.
“Dia tidak sombong dan setiap kali bersembang dengannya, dia tidak kedekut untuk berkongsi pelbagai petua lakonan mahupun resipi kejayaannya sehingga ke hari ini. Saya akan sentiasa ingat pesannya iaitu apabila berada di atas suatu hari nanti, jangan jadi sombong kerana kita semua manusia biasa. Macam-macam boleh jadi,” katanya.
Menyusul selepas ini pula, Adeline bakal pulang ke Sabah bersama beberapa pelakon termasuklah Sabhi Sadhi, Aiman Mentor, Nera AF, Fauziah Nawi, Seha dan Tony Eusoff untuk menjalani penggambaran sebuah drama berjudul Cinta Antara Laut Cina Selatan.
Menceritakan perkembangan lain, pelakon ‘versatile’ ini juga tidak ketinggalan melebarkan sayapnya untuk turut mencuba bidang pengacaraan.
“Sekarang ini, saya hanya menanti siaran sebuah rancangan mengenai kesihatan dan kecantikan iaitu Rias Jelita yang bakal ke udara tidak lama lagi di TV2.
Sebenarnya, sengit juga persaingan sebelum terpilih mengemudikan rancangan berkenaan kerana saya perlu bersaingan dengan seorang lagi peserta.
“Syukurlah, produser yakin dengan kebolehan saya dan banyak memberi tunjuk ajar memandangkan saya masih baru. Banyak juga perkara yang saya tidak tahu dan kena pelajari. Memang sukar pada awalnya, namun kini saya sudah semakin serasi.
“Saya menyedari bidang pengacaraan juga cukup sesuai pada jiwa saya dan selepas ini berharap tawaran yang lebih besar akan datang pula. Sebenarnya, saya sudah pernah ditawarkan menjadi hos kepada satu rancangan popular seluruh dunia tidak lama dulu, namun terpaksa melepaskannya kerana jadual tidak mengizinkan,” ujarnya lagi yang menyimpan hajat untuk mengacarakan rancangan berbentuk ‘travelog’ pula suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment