KUALA LUMPUR – Terkilan dan sedih dengan tindakan isteri yang didakwa lari bersama teman lelakinya, seorang mualaf memfailkan permohonan nusyuz terhadap jururawat sebuah hospital kerajaan selain menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memungkiri perjanjian perkahwinan.
Pembantu arkitek, Muhammad Sem Yap Abdullah, 39, selaku plaintif mengemukakan permohonan tersebut terhadap isterinya, Norlysalfarina Zainal, 30, di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 16 Januari lalu.
Plaintif dalam afidavit permohonan tersebut berkata, sebelum berkahwin, mereka telah membuat perjanjian perkahwinan bertarikh 7 November 2010 iaitu sekiranya defendan mungkir janji syarat-syarat perkahwinan, dia perlu membayar ganti rugi RM1 juta kepada plaintif.
Jelas plaintif, dia dan Norlysalfarina berkenalan menerusi laman sosial Facebook sebelum mengambil keputusan bernikah di Kerteh, Terengganu pada 12 November 2010 demi menyelamatkan wanita itu yang didakwa ketika itu mempunyai masalah dalaman. Hantaran perkahwinan pasangan itu berjumlah RM15,000.
“Namun selepas bernikah kami terpaksa tinggal berasingan atas alasan kerja dengan defendan menetap di Kerteh. Bagaimanapun, pada Jun 2011, atas usaha saya, defendan berpindah ke Hospital Selayang,” kata Muhammad yang memeluk agama Islam sejak 1994.
Beliau mendakwa isterinya telah berlaku curand dan dipikat oleh doktor hospital kerajaan. Oleh itu tuntutan ganti rugi dibuat atas alasan mungkir janji perkahwinan
1 comment:
Berita ini mungkin salah satu daripada insiden yang menimpa golongan muallaf di negara kita. Pada waktu yang sama terdapat ramai muallaf yang menjalani hidup bahagia bersama teman ataupun pasangan masing-masing. Kita faham bahawa berita ini tidaklah boleh digeneralisasikan bahawa keseluruhan muallaf menghadapi isu yang sama dan kehidupan mereka tidak bahagia.
Dalam pada itu, kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat beberapa mungkin jua banyak insiden melibatkan saudara baru yang lebih mesra dengan panggilan muallaf terperangkap atau terpedaya dalam pujukan cinta lalu memeluk Islam demi mendirikan rumah tangga dengan pasangannya yang beragama Islam kemudian melalui perjalanan hidup berkeluarga yang menyedihkan. Akhirnya bercerai, diperlakukan secara yang tidak sepatutnya tanpa mempertimbangkan status muallafnya. Kebanyakannya sudah berenggang dengan keluarga asal disebabkan faktor agama. Akhirnya apabila perkahwinan yang dibina hancur berkecai dan berakhir dengan perceraian, saudara baru ini hilang arah, hilang pedoman tiada tempat untuk mengadu nasib – mahu jadi gila akhirnya.
Bukan sahaja bercerai malahan ada yang tidak dibenarkan melawat anak, dipisahkan daripada ahli keluarga mereka dan menjalani kehidupan yang lara. Dalam soal ini memerlukan pertimbangan yang adil dengan mengutamakan soal kemanusiaan lebih daripada perasaan dendam kesumat. Suatu perkara yang jelas ialah ini bukan kehendak atau ajaran agama, ini adalah kehendak dendam kesumat hati-hati manusia yang sudah rosak.
Bermulanya konflik melibatkan kedua-dua pihak. Dalam konflik keluarga kita tidak dapat menyebelahi mana-mana pihak untuk menyatakan sokongan ataupun tentangan. Persoalannya melibatkan soal hati. Tercabutnya kasih sesama pasangan yang terbina atas ikatan perkahwinan. Apabila sudah tercabut kasih, apapun menjadi punca pertelingkahan.
Kembalilah kepada ajaran Islam dalam menyelesaikan sebarang pertikaian dan persoalan melibatkan keluarga, anak-anak dan selanjutnya semua perkara dalam kehidupan harian. Didiklah nafsu supaya akur dengan tuntutan agama. Jangan dituruti nafsu. Dituruti hati mati, dituruti nafsu binasa kita kesudahannya.
Sewaktu melayari perkahwinan, pasangan tenggelam dalam kebahagiaan kasih sesama suami isteri. Sewaktu permusuhan tercetus kedua-dua saling bertikai tanpa segan silu membawa kisah mereka di khalayak untuk dibicarakan atas nama keadilan.
Pasangan muallaf tiada keluarga dan sesiapa untuk berdialog bagi pihaknya. Lebih-lebih isu rumah tangga sukar bagi orang lain untuk campurtangan. Kalau campurtangan pun mempunyai limitasinya yang tersendiri. Ibu bapa kepada pasangan hendaklah adil kerana setiap tindak tanduk pasti akan dijawab di depan Allah swt.
Takuti ALlah swt adalah aspek penting keimanan kita. Undang-undang dunia mungkin boleh dikaburi tetapi apabila berhadapan dengan ALlah swt kita akan menerima padahnya. Perbanyakkan selawat dan istifar semoga mendapat keberkatan ALlah swt.
Mempunyai kesan besar apabila kita ambil kesempatan di akhir kalam ini untuk berdoa bahawa pesanan ini adalah untuk diri saya terlebih dahulu daripada orang lain. Semoga ALlah swt mencampakkan kurniaNya kepada hati kita…
Satu perkara yang saya lihat ialah janganlah semata-mata seorang itu muallaf kita jodohkan mereka dengan orang yang tidak lagi diingini oleh orang lain. Kita faham semua kita adalah manusia tetapi jangan jadikan muallaf itu kambing korban…
Post a Comment